13 tahun kemudian..
Akhirnya aku berjaya menamatkan pelajaran ku di Universiti Teknologi MARA dalam jurusan Komunikasi Massa.
Kini aku bekerja disebuah syarikat pengiklanan swasta di kota Kuala Lumpur. Agak mencabar juga pabila melangkah ke dunia pekerjaan yang sebenar. Macam- macam ragam dan perangai manusia yang aku jumpa.
Ada yang pelik, mahupun jelik.
Pada suatu hari, aku mendapat satu mesej melalui laman sosial Facebook dari seseorang yang menggelarkan dirinya ‘Mawar Putih’.
“Ingat saya lagi tak?”
Aku amati wajah si penghantar mesej tersebut, wajahnya persis Amira yang aku kenal 13 tahun lalu. Tetapi beliau menggunakan nama samaran dan membuatkan aku sedikit was- was.
Aku membalas mesej tersebut dan bertanyakan siapa gerangan si penghantar mesej.
Selang 15 minit kemudian, mesej ku berbalas.
“Mir tak kenal saya lagi ke? Saya Mira, rakan sekelas masa sekolah rendah.”
Aku terkedu tatkala membaca mesej tersebut dan wajah Amira 13 tahun lalu berlegar- legar diminda ku.
“Cantiknya Amira sekarang” detik hatiku.
Kami berbalas- balas mesej sambil bertukar nombor telefon. Aku pelik sekali mengapa hatiku amat girang apabila mendapat mesej dari Amira. Kenangan semasa sekolah rendah ligat bermain- main di fikiran ku.
Di dalam diam, aku amat merindui Amira. Kenangan cinta monyet yang berlaku 13 tahun lalu muncul kembali.

Pada suatu hari aku memberanikan diri menelefon Amira.
“Assalamualaikum, Mira ke ni?” aku memulakan bicara.
“Ya saya, Mir apa khabar?” Amira membalas.
“Saya sihat belaka. Mira bagaimana?” sambung ku.
“Mira pun sihat. Tak kerja ke hari ini?”
“Hari ini cuti la, Mira free ke?”
“Mira kerja hari ini, esok Mira free. Kenapa?”
“Saya ingat nak ajak Mira keluar. Boleh ke kita jumpa esok”?
“Mira tak kisah, kalau macam tu kita jumpa esok di Pavilion.”
“Ok, kita jumpa esok jam 12 tengahari ya….bye” aku mengakhiri pebualan.
Tak sabar rasanya hendak bertemu Amira esok. Tapi…. Amira ni dah berpunya ke? Bingung pula bila memikirkan persoalan itu.
Aku harap perkara tersebut dapat dirungkaikan pada esok hari.
Keesokkan hari…
Aku datang awal hari ini. Hatiku melonjak- lonjak gembira untuk bertemu Amira yang sudah 13 tahun tidak bertemu.
Aku mengambil tempat di sebuah restoran sambil menunggu ketibaan Amira.
“Assalamualaikum” suara Amira kedengaran.
Lantas aku memaling muka ku dan aku cukup terpesona melihat wajah Amira yang mulus. Aku terkesima untuk beberapa ketika dek kecantikannya.
Lalu Amira menepuk bahu ku dan menyedarkan aku dari lamunan. Merah padam muka ku menahan malu.
“Waalaikumussalam”
Aku menjemput Amira duduk dan menghulurkan hadiah yang tidak seberapa buat Amira.
“Terima kasih Mir. Dah lama Mir sampai?”
“Sama- sama. Baru aja sampai” jawab ku kembali walaupun sebenarnya aku telah sampai setengah jam awal. Semangat punya pasal.
Kami berbual- bual sambil menikmati juadah yang telah dipesan. Amira cukup gembira pabila bercerita kenangan kami 13 tahun yang lepas. Aku amat menyenangi Amira.
Amira nampak lebih matang jika dibandingkan dengan 13 tahun yang lepas. Mungkin
pengalaman hidup telah mematangkannya.
Aku benar- benar bersyukur dapat bertemu dengan Amira.
Selesai makan tengahari, kami bersiar- siar di sekitar kawasan Pavilion. Aku lihat Amira cukup gembira dengan pertemuan ini. Walaupun kegembiraan ini tidak dilafazkan dengan kata- kata, namun riak pada wajahnya cukup menggambarkan perasaannya.

Tepat jam 6.30 petang, kami meminta diri untuk pulang.
bersambung...









